subpage banner

Speeches

Ucapan Encik Tharman Shanmugaratnam, Timbalan Perdana Menteri, Di Majlis Pelancaran Bulan Bahasa 2014

06 Sep 2014
Date: 06 September 2014
Venue: Di Muzium Tamadun Asia, River Room
Speaker: Encik Tharman Shanmugaratnam
 
Encik Masagos Zulkifli, Menteri Negara Kanan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Ehwal Luar, dan Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura

Encik Zaqy Mohamad, Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa 2014 (dua puluh empat belas) dan AP bagi GRC Chua Chu Kang

Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Negara Brunei Darussalam

Profesor Chan Heng Chee, Pengerusi, Majlis Kesenian Kebangsaan

Encik Ong Yew Huat, Pengerusi, Lembaga Warisan Negara

Puan Rosa Daniel, Ketua Eksekutif, Lembaga Warisan Negara

Puan Lee Suet Fen, Pengerusi, Museum Peradaban Asia

Rakan-rakan Anggota Parlimen

Para Tetamu Terhormat dari Negara Brunei Darussalam dan Malaysia

Para Tetamu Khas

Tuan-tuan dan Puan-puan

Saya gembira kerana dapat bersama-sama anda dalam Majlis Pelancaran Bulan Bahasa 2014 (dua puluh empat belas). Sudah tiga tahun Bulan Bahasa dianjurkan setiap tahun. Sebelum itu, Bulan Bahasa diadakan sekali setiap dua tahun. Usaha ini pastinya adalah usaha yang besar. Tahun ini, untuk pertama kali, Bulan Bahasa dijalankan dalam skala yang lebih besar dan diuji cuba di estet-estet perumahan di Jurong dan Tampines. Saya ucapkan tahniah kepada Encik Masagos dan Encik Zaqy, dan semua yang terlibat dalam menganjurkan Bulan Bahasa tahun ini.

Bulan Bahasa menunjukkan bahasa, budaya dan warisan Melayu. Namun, ia bukan sahaja untuk masyarakat Melayu, tetapi bagi semua rakyat Singapura. Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan kita, dan budaya Melayu adalah sebahagian daripada warisan dan identiti bersama kita.

Sesungguhnya, kepentingan bahasa Melayu tercermin dalam Lagu Kebangsaan kita. Setiap perkataan dan frasa dalam Majulah Singapura dipilih dengan cermat oleh Pak Zubir Said. Liriknya ditulis dalam bahasa Melayu yang mudah, dan dipilih supaya setiap rakyat dapat menyanyikan dengan mudah dan faham setiap frasanya. Ia meluahkan perasaan mendalam tentang semangat kenegaraan. Ia menunjukkan semangat perpaduan rakyat Singapura, dan aspirasi untuk mencapai masa depan yang cemerlang bagi negara kita.

Aspirasi kita berubah mengikut masa. Aspirasi kita hari ini berbeza berbanding tahun 1965 (sembilan belas enam puluh lima), - semasa negara kita baru lahir dan kebanyakan rakyat miskin dan pendidikan mereka tidak lebih daripada sekolah rendah. Apabila negara semakin maju, aspirasi kita sesuai berubah, dan seperti yang kita lihat, rakyat muda kita mempunyai aspirasi yang lebih pelbagai. Namun, semangatnya masih tetap sama. Kita bersama-sama mahukan masa depan yang lebih baik. Frasa “semangat yang baru” yang terdapat dalam Lagu Kebangsaan dan apabila kita nyanyikan buat pertama kali bersama-sama terus kekal dalam jiwa kita, dan mesti terus kekal dalam semangat Singapura.

Para pelajar kita menyanyikan Lagu Kebangsaan setiap hari dan belajar ertinya sejak Darjah Satu. Namun, ada yang masih menyatakan mereka tidak faham makna beberapa perkataan yang mereka nyanyikan. Walaupun mereka telah pelajari maknanya di sekolah, tetapi mereka lupa. Saya yakin, kita boleh menggunakan cara yang baik untuk memastikan setiap orang faham makna lirik Lagu Kebangsaan apabila mereka dewasa, dan boleh mengingat maknanya dengan mudah walaupun telah lama tamat sekolah. Lagu Kebangsaan milik kita bersama, dan ia adalah sebahagian daripada identiti kita.

Terdapat sekolah-sekolah kita yang melakukan banyak usaha membantu pelajar faham dan menghargai makna Lagu Kebangsaan. Contohnya, di Sekolah Rendah Telok Kurau, para gurunya mengambil peluang yang ada sepanjang tahun untuk menjelaskan makna frasa-frasa tertentu. Antaranya frasa “Marilah kita bersatu” meluahkan semangat bersama yang kita tunjukkan dalam membina negara Singapura yang merdeka dan menjadi nilai hidup seharian. Sekolah Rendah Telok Kurau melakukannya untuk memastikan murid-murid faham maknanya apabila menyanyikan Majulah Singapura setiap hari. Para guru juga membetulkan sebutan bagi setiap perkataan dalam Lagu Kebangsaan. Saya pasti semua sekolah beri perhatian serius dalam hal ini, dan mencari cara terbaik untuk membantu pelajar hargai makna dan simbol dalam Lagu Kebangsaan.

Kebanyakan sekolah-sekolah kita juga berusaha membantu pelajar belajar Bahasa Melayu Pertuturan yang mudah. Para pelajar tidak perlu menduduki ujian, jadi tidak ada tekanan. Satu contoh yang baik ialah di Sekolah Menengah Edgefield. Semua pelajar belajar Bahasa Ibunda Pertuturan di Menengah Satu. Pada akhir program, pelajar bukan Melayu sediakan gerai yang bertemakan Perkahwinan dalam Masyarakat Melayu. Pelajar bukan Cina pula akan sediakan gerai tentang Perkahwinan dalam Masyarakat Cina. Mereka kemudian menerangkan tradisi dalam budaya yang berlainan menggunakan bahasa yang mereka pelajari. Pelajar Melayu juga belajar kaligrafi Cina yang mudah dan menulis nama mereka dalam bahasa Mandarin. Pelajar Cina pula belajar aspek budaya Melayu yang lain. Ini semua adalah contoh bagaimana pelajar kita belajar budaya kaum lain dengan cara yang lebih seronok, gunakan bahasa dengan cara yang autentik dan hidup.

Mempelajari Bahasa Ibunda kaum lain untuk perbualan yang mudah sama seperti kita memakai pakaian tradisi mereka. Namun, ia lebih daripada itu. Ia membina rasa kekitaan, yang mengukuhkan hubungan rakyat berbilang kaum di negara kita sepanjang masa.

Pak Zubir Said merupakan golongan era tahun tiga puluhan hingga enam puluhan. Ketika itu, Singapura menjadi pusat intelek, penerbitan dan hiburan dunia Melayu. Ramai lagi yang telah menyumbang dengan meluas kepada pembangunan budaya Melayu dan budaya Singapura. Mereka termasuklah Encik Iskandar Jalil, pakar tembikar kita yang ulung, Dr Muhammad Ariff Ahmad, penulis dan penyunting yang mendapat banyak anugerah serta anggota pengasas ASAS ’50 (lima puluh), Encik Abdul Ghani Abdul Hamid, yang mendapat banyak anugerah sebagai penulis, penyair dan pelukis, serta anggota pengasas Angkatan Pelukis Aneka Daya (ringkasnya APAD) (Artists of Various Resources); dan juga Marpiah Binti Abdul Rahim, atau lebih dikenali sebagai Momo Latiff, yang mengambil bahagian dalam persembahan Bulan Bahasa tahun lalu pada umur ‘muda’ 90 (sembilan puluh) tahun. Mereka dan ramai lagi telah menyumbang kepada warisan Singapura, juga kepada rantau ini dengan cara rakyat Singapura yang tersendiri.

Sehubungan dengan ini, saya gembira apabila diberitahu bahawa Profesor Madya Doktor Hadijah Rahmat dan kumpulannya akan membuat dokumentasi secara kritikal perkembangan sastera Melayu Singapura sejak 1965 (sembilan belas enam puluh lima). Usaha ini sebagai sebahagian daripada sumbangan masyarakat Melayu untuk sambutan SG50 (SG Lima Puluh) negara kita. Proses ini juga akan melibatkan masyarakat umum dan akan diarkib secara elektronik. Sebuah buku “coffee table” yang menunjukkan semangat dan sumbangan penulisan Melayu Singapura akan diterbitkan. Ini akan diikuti dengan pameran bergerak di estet-estet perumahan. Dokumentasi sebegini penting. Penulisan tentang kehidupan, pemikiran dan peristiwa-peristiwa sejak 50 (lima puluh) tahun dahulu ialah catatan sejarah warisan sastera kita. Saya pasti kita dapat belajar daripada warisan ini yang akan menjadi inspirasi kepada kita untuk cemerlang dalam penciptaan kreatif pada masa hadapan.

Dalam perkembangan yang lain, kini Singapura dengan rasmi telah menjadi anggota Majlis Sastera Asia Tenggara (ringkasnya MASTERA) dan akan menjadi tuan rumah buat pertama kali bagi Persidangan MASTERA dan Seminar Sastera Asia Tenggara, pada tahun hadapan. Saya galakkan anda untuk mengambil peluang ini dan pamerkan keupayaan sastera kita kepada rakan-rakan serantau kita.

Terdapat hubungan rapat antara warisan kita sebagai sebuah negara dengan jiran-jiran kita di rantau ini. Artifak-artifak yang telah dipilih oleh kurator-kurator Muzium Tamadun Asia untuk lawatan “Rakan-rakan Muzium” merupakan contoh yang baik. Ikutilah lawatan ini sebentar nanti. Saya pasti anda akan dapat maklumat yang menarik tentang warisan kita. Anda juga akan tertarik dengan cara pelajar-pelajar kita menggunakan bahasa Melayu dengan fasih dan yakin. Saya harap pelajar-pelajar ini dapat memberi inspirasi kepada kita untuk meningkatkan tahap kemahiran bahasa kita juga.

Para Hadirin Sekalian

Marilah kita sama-sama merayakan dan mengukuhkan warisan berbilang kaum dan berbilang budaya kita. Marilah kita terus gunakan bahasa ibunda kita dengan bangga dan berusaha untuk belajar frasa-frasa mudah Bahasa Ibunda kaum lain, dan memastikan generasi masa hadapan bangga dengan diri kita, sebagai rakyat Singapura yang berbilang bangsa dan berbilang budaya.

Terima kasih atas perhatian anda.