subpage banner

Media Articles

Yaacob joins Budget talk hosted by BH and REACH

01 Mar 2018

Yaacob sertai Bicara Belanjawan BH, Reach

ERVINA MOHD JAMIL

 

ISU kenaikan GST yang dirancang pemerintah, kos sara hidup, Negara Bijak dan bantuan bagi syarikat kecil dan sederhana (SME).

 

Demikian antara perkara yang dibincangkan semasa sesi dialog Bicara Belanjawan anjuran unit maklum balas pemerintah, REACH, dan Berita Harian semalam.

 

Sesi tersebut dihadiri tetamu terhormat, Menteri Perhubungan dan Penerangan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim.

 

Sesi yang berlangsung di Drama Centre di Bangunan Perpustakaan Negara malam tadi itu turut disertai sekitar 100 orang daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar, usahawan, pekerja dan pemimpin akar umbi.

 

Peserta turut membincangkan pelbagai daya usaha dan sokongan yang diumumkan semasa Belanjawan 2018 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Encik Heng Swee Keat, minggu lalu.

 

Belanjawan tahun ini memberi tumpuan pada empat tema - ekonomi yang berinovasi dan bersemangat; bandar kediaman yang selesa, bijak dan hijau; masyarakat yang prihatin dan bersepadu; dan masa hadapan dengan Belanjawan yang berkelanjutan dan terjamin.

 

Peserta dialog itu antara lain membincangkan tentang sokongan pembiayaan yang lebih tinggi untuk pekerja mencuba kerjaya baru menerusi Program Percubaan Kerjaya, visi Singapura menjadi Negara Bijak dan juga soal penjagaan warga emas.

 

Dr Yaacob berkata, Belanjawan 2018 menampilkan pelbagai peluang yang boleh dimanfaatkan masyarakat Melayu setempat, antaranya termasuk sumbangan Edusave yang lebih tinggi serta Program Percubaan Kerjaya.

 

Malah, golongan usahawan juga tidak ketinggalan kerana terdapat pelbagai daya usaha yang bertujuan membantu mereka.

 

"Bagi SME, program SME Go Digital merupakan program yang baik, dan ia akan diteruskan serta dipertingkatkan.

 

"Terdapat lebih banyak peluang untuk peniaga kecil kita tingkatkan perniagaan mereka dan peluang ini harus diteliti secara terperinci," kata Dr Yaacob.