subpage banner

Media Articles

Public sector report card: More assisted by government subsidies

22 Dec 2018
Kad laporan sektor awam: Lebih ramai dibantu pemerintah sara kos hidup

Bantuan termasuk dalam jagaan kesihatan, perumahan, pengangkutan, perbelanjaan harian'

LEBIH ramai warga Singapura mendapat bantuan pemerintah, termasuk bagi menampung kos sara hidup yang meningkat sejak dua tahun lalu.

Laporan sektor awam terkini yang diterbitkan semalam menyatakan warga Singapura juga mendapat gaji lebih tinggi tahun lalu, sementara kadar pengangguran kekal rendah, walaupun berlatar keadaan tidak menentu berhubung sekitaran dunia yang berubah.

Laporan Semakan Hasil Sektor Awam Singapura itu disiapkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) bagi memberi gambaran tentang keadaan sektor awam, kata MOF dalam kenyataannya berhubung dapatan tersebut.

Diterbitkan secara dwitahunan, laporan itu berkata warga Singapura menerima bantuan pemerintah dalam pelbagai bidang termasuk jagaan kesihatan, perumahan, pengangkutan dan perbelanjaan harian.

JAGAAN KESIHATAN

Dalam penjagaan kesihatan, perbelanjaan pemerintah dijangka bertambah lebih seganda daripada $3.9 bilion pada tahun kewangan 2011 kepada $10.2 bilion pada tahun kewangan ini.

Sebahagian besar peningkatan ini adalah bagi memperkukuh subsidi untuk mengekalkan kos jagaan kesihatan pada kadar yang dimampui warga Singapura.

Tahun lalu, pesakit yang dirawat di hospital mengeluarkan kurang $500 - selepas mengambil kira subsidi Medisave dan MediShield Hayat - bagi hampir 90 peratus bil. Bagi rawatan di luar hospital pula, sekitar 750,000 individu memanfaatkan Medisave dan lagi 650,000 memanfaatkan Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas).

PERUMAHAN

Pembeli rumah kali pertama pula terus mampu berbuat demikian.

Laporan itu berkata nisbah pembayaran pinjaman - yang mengukur bahagian gaji yang diperuntuk bagi melunaskan pinjaman - kekal pada 22 peratus tahun lalu.

Tahun lalu, 8,100 keluarga yang membeli flat buat kali pertama dan warga bujang yang membeli flat jual semula, memanfaatkan geran yang telah diperkukuh.

Sejak Geran Rumah Berhampiran (PHG) dilancar pada Ogos 2015, 11,000 keluarga telah menerima sejumlah $211 juta untuk tinggal berhampiran atau dengan orang tua mereka.

Pada masa ini, pemohon kali pertama bagi flat jual semula boleh menerima geran sehingga $120,000 - peningkatan 50 peratus sejak 2015.

SUBSIDI PENGANGKUTAN DAN BANTUAN BAGI GOLONGAN MISKIN

Bagi pengangkutan pula, sekitar 1.8 juta kad konsesi - yang memberi diskaun sehingga 50 peratus tambang dewasa bagi pengangkutan awam - telah dikeluarkan. Golongan kurang upaya juga mendapat subsidi sehingga 80 peratus menerusi Skim Subsidi Teksi yang diperluas dan kini merangkumi kenderaan sewa privet.

Laporan itu mendapati pemerintah terus memperuntuk bantuan terbesar kepada golongan yang lebih memerlukan dengan 79,000 benefisiari menerima $131 juta dalam bentuk bantuan kewangan sosial bagi tahun kewangan lalu.

Memberi ulasannya tentang laporan itu, ketua perkhidmatan awam Encik Leo Yip berkata pemerintah telah menunjukkan kemajuan dalam pelbagai bidang bagi melaksanakan dasar dan khidmat lebih baik.

"Satu elemen yang wujud bagi semua usaha ini adalah sikap mendengar keprihatinan dan bekerjasama dengan warga Singapura - daripada usaha mengubah ekonomi kepada memperkukuh masyarakat bagi menjamin masa depan lebih baik bagi warga Singapura," kata beliau.

GAJI WARGA MENINGKAT

Dalam pada itu, laporan itu juga berkata "Singapura berhadapan dengan peluang dan cabaran baru, sedang teknologi membentuk semula ekonomi dan masyarakat kita".

Walau pihak berkuasa terus bertindak bagi memastikan Singapura berupaya menghadapi cabaran, laporan itu berkata gaji warga Singapura dalam kumpulan 20 peratusan dan kadar gaji median bertambah, dengan gaji bertambah empat peratus setiap tahun sejak 2013.

Juga, walau kadar pengangguran lebih tinggi pada 2016 dan 2017 - melebihi kadar tiga peratus - ia kekal rendah berbanding negara lain, kata laporan itu.

Usaha meningkat produktiviti - yang dianggap kunci bagi menjana pertumbuhan mampan, tetapi agak hambar sejak beberapa tahun lalu - juga menunjukkan perkembangan walau ia tidak setara bagi semua sektor.

Tahun lalu, pemerintah menyokong 45,000 syarikat dan 450 projek yang menyerantau ke luar negara. Semua 23 Perancangan Perubahan Industri (ITM) bagi menyokong pertumbuhan dan persaingan telah dibentangkan, dengan MOF berkata "fasa perubahan selanjutnya akan meneliti kesinambungan antara kelompok dalam industri".

PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT

Laporan itu juga menukil usaha pemerintah menggalak warga Singapura menjiwai sikap pembelajaran sepanjang hayat.

Sebagai contoh, menjelang 2023, dua pertiga murid prasekolah disediakan tempat yang dimampui di prasekolah pemerintah atau prasekolah yang menerima sokongan pemerintah.

Jumlah tempat di prasekolah telah bertambah 60 peratus sejak 2012, dengan lagi 40,000 tempat dijangka pada masa depan.

Bagi orang dewasa pula, lebih 285,000 warga Singapura menggunakan kredit SkillsFuture tahun lalu.

Lebih 25,000 pemohon kerja pula mendapat kerja menerusi inisiatif Adapt and Grow tahun lalu - tambahan 20 peratus berbanding tahun sebelumnya.

MEMBURU MATLAMAT NEGARA BIJAK

Pemerintah juga giat menyediakan khidmat awam dengan cara lebih berkesan dan lebih selesa kepada warga Singapura, menerusi inisiatif Negara Bijak kata laporan itu.

Ini dilakukan dengan tujuan mengubah negara menerusi teknologi, dalam bidang seperti bayaran elektronik atau e-bayaran dan mobiliti bandar.

Sebagai contoh, perniagaan kini boleh mengadakan urus niaga dengan pemerintah secara lebih mudah menerusi wadah LicenceOne, yang menggunakan borang permohonan tunggal bagi memohon berbilang lesen daripada 20 agensi berbeza.

Juga, warga Singapura dan perniagaan kini boleh membuat bayaran secara selamat dan selesa menerusi PayNow, dengan sekitar 1.76 juta pengguna berdaftar untuk menggunakan khidmat ini sehingga September. Pihak berkuasa turut menggunakan khidmat ini bagi mengedarkan wang seperti anugerah Edusave dan bayaran SG Bonus kepada warga dengan lebih pantas.