subpage banner

Media Articles

Thankful For The Opportunity To Serve in Pioneer Generation Office (PGO)

05 Nov 2016

Hargai peluang berkhidmat di Pejabat Generasi Perintis

Nov 05, 2016

FARAH REZAL

SELAMA empat tahun, beliau bertugas membentuk dasar yang dapat membantu masyarakat, terutama warga yang sudah lanjut usia.

Kini, beliau berpeluang menyaksikannya sendiri bagaimana dasar itu dimanfaatkan warga berkenaan.

Cik Mastura Manap, 31 tahun, merupakan Penolong Pengarah Kanan, Projek Istimewa di Pejabat Generasi Perintis (PGO).

Beliau menyertai PGO pada 2014, tempat beliau dapat berinteraksi dengan warga lanjut usia melalui lawatan ke rumah ataupun melalui telefon.

"Ketika di Kementerian Kewangan (MOF) sebelum ini, saya membantu membangunkan pelbagai dasar, termasuk menentukan kriteria kelayakan.

"Kini, saya dapat berbual sendiri dengan golongan ini dan membantu memberikan cadangan kepada mereka tentang dasar terbaik buat mereka," katanya.

Menurut Cik Mastura, tugasnya mencabar dan seseorang mestilah mempunyai minat mendalam dan kesabaran dalam melaksanakan tugas tersebut.

"Ada antara golongan ini yang tidak mahu menghadiri pemeriksaan kesihatan atas pelbagai sebab, termasuk takut jarum dan enggan berpuasa.

"Selain itu, ada pula yang tidak mahu membaca surat daripada pemerintah dan kami akan membantu mereka.

"Walaupun kadangkala saya dan kumpulan saya dimarahi golongan tersebut ketika cuba berinteraksi dengan mereka, kami terus tabah dan melakukan yang terbaik," terangnya.

Cik Mastura berkata apabila beliau baru memulakan interaksi dengan golongan itu, beliau tidak boleh terus bercakap tentang Pakej Generasi Perintis (PGP).

"Langkah pertama adalah mengenali mereka melalui percakapan demi membina hubungan dan kepercayaan dengan mereka.

"Kemudian, barulah lebih mudah bagi mereka mendengar nasihat atau cadangan saya," kata beliau, yang mempunyai ijazah sarjana dalam jurusan sosiologi daripada Universiti Nasional Singapura (NUS).

Cik Mastura menghadiri majlis makan malam kepimpinan sektor awam yang diadakan kelmarin, dengan Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean hadir sebagai tetamu terhormat.

Cik Mastura mengikuti Program Kepimpinan Perkhidmatan Awam (PSLP) dengan diberi peluang pekerjaan yang dapat membangunkan kebolehannya mengurus bakat dan kepimpinan.

"Program itu memperkasa saya agar dapat menangani isu sosial sekarang, yang menjadi lebih rumit, terutama sekali dengan penduduk Singapura yang semakin menua.

"Saya juga berpeluang bekerja dengan sukarelawan dan saya melatih mereka agar mereka dapat bekerjasama dengan golongan lanjut usia," ujarnya.

Source: Berita Harian © Singapore Press Holdings Limited. Permission required for reproduction.