subpage banner

Media Articles

S'pore Has Strong Structure To Combat Illicit Money and Terrorism Financing

28 Sep 2016

S'pura punya struktur kukuh perangi ubahan wang terlarang, biaya pengganasan

Sep 28, 2016

ERVINA MOHD JAMIL

SATU penilaian ke atas sistem kewangan Singapura oleh sebuah pasukan bertindak antarabangsa mendapati bahawa negara ini mempunyai rangka kerja yang kukuh bagi memerangi pengubahan wang terlarang dan pembiayaan pengganasan.

Bagaimanapun, Pasukan Bertindak Kewangan Terhadap Kegiatan Kewangan Jenayah (FATF) turut mengenal pasti beberapa bidang yang perlu dipertingkat.

Pasukan bertindak itu antara lain menyarankan Singapura mengukuhkan pemahaman institusi kewangan di sini tentang risiko baru dan menangani lebih banyak kes pengubahan wang terlarang rentas negara yang rumit.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersama semalam, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Kementerian Kewangan (MOF) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) berkata bahawa Singapura telah mempertingkat aturan menentang pengubahan wang terlarang dan pembiayaan pengganasan (AML/CFT) sejak penilaian FATF terakhir pada 2008.

Laporan terkini FATF mengenai Singapura itu - yang pertama sejak pasukan bertindak itu memperkenal piawaian lebih ketat pada 2012 - menyatakan aturan AML/CFT Singapura berjaya mencapai hasil berkesan dalam beberapa aspek penting.

Antara lain, ia mendapati bahawa Singapura mempunyai rangka kerja kukuh bagi langkah pencegahan, penyeliaan, penguatkuasaan, perampasan hasil jenayah dan sekatan kewangan tersasar terhadap pembiayaan pengganasan.

Penilaian itu juga mendapati bahawa Singapura mempunyai struktur penyelarasan nasional yang amat canggih yang dapat mengenal pasti dan menilai risiko pengubahan wang terlarang dan pembiayaan pengganasan serta mengambil langkah mengurangkan risiko itu.

FATF turut memuji Singapura kerana mempunyai rangka kerja baik bagi kerjasama antarabangsa dalam memerangi jenayah itu.

Sementara itu, Singapura akan mengambil langkah susulan dalam bidang yang dikenal pasti pasukan bertindak itu sebagai mempunyai ruang bagi peningkatan.

Contohnya, agensi penguatkuasaan undang-undang Singapura yang menangani kes pengubahan wang terlarang rentas negara yang rumit seperti siasatan 1MDB akan memperkukuh keupayaan mereka mengenal pasti dan menyiasat lebih banyak kes sedemikian.

Source: Berita Harian © Singapore Press Holdings Limited. Permission required for reproduction.