subpage banner

Media Articles

Rebat bil elektrik, air $120j bagi 880,000 family

31 Mar 2017

SEKITAR 880,000 isi rumah Singapura yang tinggal di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) boleh menjangkakan menerima $120 juta dalam bentuk rebat bayaran perkhidmatan dan penyenggaraan (S&CC) pada tahun kewangan 2017, menurut Kementerian Kewangan semalam.

Rebat tersebut diumumkan semasa Belanjawan 2017 untuk memberi sokongan tambahan kepada isi rumah, selepas kesemua 15 majlis bandaran kendalian Parti Tindakan Rakyat (PAP) berkata mereka akan meningkatkan bayaran S&CC mulai Jun ini.

Secara keseluruhannya, setiap isi rumah Singapura yang layak akan menerima rebat S&CC 1.5 hingga 3.5 bulan, bergantung pada jenis flat HDB mereka.

Keluarga yang layak akan menerima surat mulai akhir bulan ini dengan maklumat lanjut mengenai rebat tersebut, kata kementerian itu.

Rebat itu akan dikeluarkan bulan depan, Julai dan Oktober tahun ini serta Januari tahun depan.

Flat satu bilik dan dua bilik akan menerima rebat satu bulan pada bulan depan, Julai dan Oktober tahun ini, dan rebat 0.5 bulan pada Januari 2018.

Flat tiga bilik dan empat bilik pula akan menerima rebat satu bulan pada bulan depan, dan rebat 0.5 bulan pada Julai dan Oktober 2017 serta Januari 2018.

Flat lima bilik akan menerima rebat 0.5 bulan pada bulan depan, Julai dan Oktober tahun ini, dan Januari tahun depan.

Sementara itu, flat eksekutif dan flat berbilang generasi akan menerima rebat 0.5 bulan pada April, Julai dan Oktober tahun ini, dan tidak akan menerima rebat pada Januari 2018.

Rebat tersebut akan digunakan sebagai mengimbangi bayaran S&CC isi rumah secara langsung.

Bagi isi rumah yang membayar S&CC mereka melalui Giro, majlis bandaran akan membuat perkiraan yang diperlukan dengan bank mereka, tambah kementerian itu.

Penduduk boleh menghubungi majlis bandaran mereka atau talian pertanyaan HDB di 1800-8663-078 untuk mendapatkan maklumat lanjut, atau e-mel kepada sccrebates@mailbox.hdb.gov.sg untuk mengetahui kelayakan rebat S&CC rumah mereka.

Source: Berita Harian © Singapore Press Holdings Limited. Permission required for reproduction.