subpage banner

Media Articles

Isu Ketidaksamaan Sosio-Ekonomi

03 Oct 2017

PENDEKATAN Singapura dalam menangani ketidaksamaan sosio- ekonomi telah memberikan kesan baik kerana Singapura menyasarkan mereka yang lebih memerlukannya, kata Menteri Negara Kanan (Kewangan), Cik Indranee Rajah.

 

Walau negara lain menyaksikan jurang pendapatan agak jauh, ketidaksamaannya tetap berada dalam kawalan di sini.

 

Menurut Cik Indranee, Gini coefficient - kaedah yang mengukur jurang antara golongan berpendapatan rendah dengan tinggi - di Singapura berada di paras sederhana sejak lima tahun lalu.

 

"Rakyat kita juga telah menyaksikan pertumbuhan pendapatan yang baik, dengan mereka yang berpendapatan rendah menyaksikan pendapatan sebenar per kapita keluarga tumbuh hampir 20 peratus dalam tempoh lima tahun lalu," kata Cik Indranee.

 

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Encik Leon Perera (Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP)), yang bertanya sama ada Kementerian Kewangan akan sentiasa mengkaji komitmen pemerintah terhadap ketidaksamaan sosio-ekonomi serta menerbitkan hasil tinjauan seumpama itu.

 

Encik Perera menukil dapatan terkini dalam penyelidikan oleh Oxfam dan Pembangunan Kewangan Antarabangsa yang meletakkan Singapura di tangga ke-86 di dunia dalam perkara itu.

 

"Dalam kes Singapura, kita menyasarkan subsidi dan bantuan bagi mereka yang lebih memerlukan.

 

"Pendekatan khusus ini untuk mengurangkan ketidaksamaan membolehkan kita mengekalkan beban cukai kita dengan rendah sambil memastikan perbelanjaan sosial kita berhemah, adil dan progresif," tambah Cik Indranee.

 

Beliau turut menggariskan skim sokongan pemerintah yang pelbagai untuk warga Singapura pada peringkat kehidupan berbeza, dengan menyatakan bahawa lebih banyak sokongan diberikan kepada kumpulan yang kurang bernasib baik dan berisiko.

 

"Semua skim ini menambah sistem yang amat progresif," katanya.

 

Keluarga berpendapatan rendah menerima manfaat hampir $4 bagi setiap dolar cukai yang dibayar, sementara keluarga berpendapatan sederhana menerima hampir $2 bagi setiap dolar cukai yang dibayar, ujar Cik Indranee yang juga Menteri Negara Kanan Undang-Undang.

 

Bagi menjawab pertanyaan susulan Encik Perera, Cik Indranee menambah bahawa dalam belanjawan setiap tahun, menjadi tugas dan tanggungjawab kementerian melihat jurang tersebut.

 

Ia bukan sesuatu yang dilakukan setiap lima atau 10 tahun tetapi "ia sebahagian daripada kerja sehari-hari di kementerian".

 

Source: Berita Harian © Singapore Press Holdings Limited. Permission required for reproduction.