subpage banner

Media Articles

85,000 majikan terima kredit gaji $660 juta

18 Mar 2017

Mar 18, 2017

LEBIH 85,000 majikan di Singapura akan menerima bayaran Skim Kredit Gaji (WCS) berjumlah $660 juta menjelang 31 Mac ini, menurut kenyataan bersama Kementerian Kewangan (MOF) dan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) semalam.

Bayaran WCS membiayai bersama 20 peratus kenaikan gaji bagi lebih 600,000 pekerja Singapura yang layak menerima gaji bulanan kasar sebanyak $4,000 dan lebih rendah bagi 2015 dan tahun lalu.

Syarikat kecil dan sederhana (SME) meliputi penerima 70 peratus daripada jumlah yang diagihkan itu.

Bayaran itu akan dimasukkan secara langsung dalam akaun Giro bank yang digunakan bagi tujuan cukai pendapatan dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) atau digunakan bagi mengeluarkan cek.

Majikan yang layak akan menerima surat daripada Iras menjelang 31 Mac ini bagi memaklumkan jumlah bayaran WCS yang akan diterima.

Jika majikan ingin memeriksa kelayakan dalam skim itu, mereka boleh memeriksa dengan melayari laman www.iras.gov.sg/irasHome/wcs.aspx.

Bagi majikan yang ingin membuat rayuan mengenai bayaran tersebut, mereka boleh mengirimkannya kepada Iras menjelang 30 Jun ini bagi dipertimbang mengikut kes.

Majikan yang ingin disertakan dalam bayaran WCS tahun depan perlu membayar kenaikan gaji kepada pekerja Singapura tahun ini atau mengekalkan kenaikan gaji yang layak yang diberikan pada 2015 atau 2016, atau kedua-dua tahun itu.

WCS diperkenal pada 2013 sebagai sebahagian Pakej Sokongan Peralihan. Skim itu bertujuan meringankan beban kenaikan kos gaji pekerja agar majikan dapat menyalurkan sumber kewangan kepada pelaburan meningkatkan daya penghasilan dan mengongsi hasil langkah itu dengan pekerja.

Misalnya, jika majikan menaikkan gaji kasar bulanan pekerja sebanyak $200 pada 2015, pemerintah akan membayar 40 peratus daripada $200 kenaikan gajinya, bukan sahaja bagi 2015 malah bagi tempoh dua tahun lagi.

Source: Berita Harian © Singapore Press Holdings Limited. Permission required for reproduction.